Suku kaum Bugis di Sabah sentiasa peka dalam mengekalkan adat dan tradisi sebagai sebuah bangsa khususnya dan warganegara amnya di Sabah. Keunikan budaya suku kaum Bugis dipaparkan dalam penceritaan keadaan seperti majlis perkahwinan. Sebelum majlis perkahwinan, bagi masyarakat Melayu di Tanah Semenanjung, pihak lelaki akan mengadakan adat merisik dan meminang ke rumah pasangan perempuan, atas maksud mengikat tali pertunangan. Walau bagaimanapun, bagi kaum Bugis, tiada pula adat pertunangan. Bagi mereka, yang paling penting ialah hari pernikahan. Ibu bapa kaum Bugis beranggapan bahawa pertunangan boleh menimbulkan fitnah dan syak di kalangan masyarakat. Hal ini timbul kerana tempoh pertunangan yang lama memungkinkan fitnah, syak dan menanggung malu pula jika tali pertunangan yang dimetrai akhirnya putus. Keadaaan seperti ini akan menimbulkan kesangsian dan aib bagi pihak keluarga perempuan amnya, melainkan putusnya tali pertunangan itu kerana salah di pihak laki-laki.
Walaupun begitu terdapat majlis yang menyerupai adat bertunang, tetapi masyarakat Bugis tidak menganggapnya sebagai adat bertunang. Majlis ini digelar "mendrek doik" yang membawa maksud "naik duit hantaran". Dalam majlis ini, pihak lelaki akan membawa wang hantaran yang telah ditetapkan semasa meminang. Sebilangan besar daripada keluarga pihak perempuan akan menerima kesemua wang hantaran dan selebihnya hanya menerima sebahagian sahaja. Oleh yang demikian, semasa dulang hantaran diberikan ketika majlis pernikahan, dulang wang hantaran sekadar simbolik sahaja, kerana wang hantaran telah pun diserahkan kepada pihak perempuan untuk menampung kos perbelanjaan majlis persandingan. Majlis ?naik duit? tidak dibiarkan hambar kerana kemeriahan penting bagi suku kaum ini.
Pihak pengantin lelaki juga akan menyarungkan cincin sebagai tanda ikatan sebelum tiba majlis pernikahan yang berlangsung selepas tiga hingga tujuh hari setelah majlis ?naik duit?. Selepas majlis ini, kemeriahan di rumah kedua-dua mempelai akan berterusan dan ramai keluarga dari jauh yang akan datang terutama dari Sulawesi. Kedatangan kaum kerabat mereka akan meriuhkan suasana perkahwinan tersebut. Majlis perkahwinan suku kaum Bugis di Sabah memaparkan betapa kuatnya pegangan adat tradisi mereka. Seminggu sebelum majlis persandingan, dua orang wanita dipertanggungjawabkan oleh pihak pengantin perempuan untuk menjemput tetamu. Kedua-dua wanita ini terdiri daripada mereka yang telah berumah tangga. Wanita yang belum berumah tangga tidak manis berkunjung dari rumah ke rumah untuk menjemput tetamu. Bagi kaum Bugis, wanita yang belum berkahwin tidak digalakkan menjemput tetamu kerana dikhuatiri lambat menerima jodoh.
Kedua-dua wanita ini digelar pattampa yang bermaksud pemanggil tetamu. Pattampa akan mattampa, iaitu berkunjung dari rumah ke rumah. Pattampa tidak datang dengan tangan kosong, tetapi akan membawa dulang yang dibalut dengan kain berwarna dan bermanik. Dulang ini diisi dengan dua bungkus rokok pelbagai jenama berserta mancisnya sekali. Rokok, suatu ketika dahulu ialah lambang prestij sesebuah keluarga. Hanya golongan yang berkemampuan yang mampu memilikinya dan adat ini masih dikekalkan walaupun kini masyarakat sudah mampu membeli rokok dengan harga yang murah. Tetamu yang dijemput perlu membuka dulang dan mengambil sebatang rokok lalu membakarnya. Adat ini penting terutama bagi tetamu yang mempunyai anak dara, kerana dengan cara ini diharapkan anak mereka pula yang akan menemui jodoh. Walau bagaimanapun, adat mattampa hanya terkenal di kalangan kaum Bugis, kaum lain dijemput dengan menggunakan kad undangan. Kad undangan ini tidak banyak bezanya daripada kad undangan majlis anjuran kaum lain di Sabah. Malam berinai atau mappacci cukup meriah, kerana pada malam ini pelbagai acara yang menarik akan berlangsung. Malam berinai akan dimulakan dengan majlis khatam al-Quran, disusuli dengan majlis berzanji.
Inai disediakan oleh wanita muda yang belum berkahwin. Setelah selesai menginai pengantin perempuan, rombongan gadis muda pula akan bersiap untuk berkunjung ke rumah mempelai lelaki. Tujuannya adalah untuk menghantar lebihan inai daripada bakal isteri kepada mempelai lelaki. Adat ini dipercayai sebagai satu usaha agar kedua-dua pihak dapat hidup lebih harmoni. Terdapat satu lagi majlis yang cukup menarik sebelum pengantin perempuan memakai inai, iaitu adat memakai bedak. Majlis ini dianggap penting untuk melicinkan kulit dan menambahkan lagi seri wajah pengantin perempuan. Bedak tersebut digelar bedak ke?cek yang bermaksud sejuk. Bedak ini dibuat sendiri dengan menggunakan beras dan diadun dengan pelbagai bahan termasuk kunyit dan ditumbuk dengan lesung. Terdapat juga pengantin perempuan yang memakai bedak ini seminggu sebelum bersanding untuk melicinkan kulit. Semasa upacara memakai bedak, pengantin perempuan hanya berkemban dan berbaring manakala bedak akan disapu ke seluruh tubuh dan dibiarkan hingga kering. Kemudian barulah pengantin itu diinai. Lebihan bedak pengantin akan disapukan pula pada wanita yang belum berkahwin. Suasana ini riuh rendah kerana ada yang dikejar kerana enggan disapukan bedak lebihan pengantin. Kemeriahan malam berinai tidak hanya disulami dengan acara memakai bedak.